Profil Organisasi

Jabatan Kerja Raya [JKR] Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Perak Darul Ridzuan adalah sebuah jabatan teknikal yang terpenting di Malaysia. Di Negeri Perak cawangan ini telah ditubuhkan pada tahun 1972 sehingga kini menjadi sebuah agensi pelaksana projek-projek pembangunan prasarana dan kemudahan awam juga dipertanggungjawab keatas kerja-kerja rekabentuk pendawaian elektrik, perolehan dan penyeliaan projek-projek infrastruktur untuk Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Pada awalnya berpejabat di Tingkat 7 Bangunan Lama Kerajaan Negeri Perak, di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh. Mula beroperasi di bangunan sendiri di Lorong Lahat, Kampung Temiang mulai April 1979. Beberapa cawangan yang terdiri daripada anggota kecil kakitangan juga diujudkan bermula dengan Daerah Kuala Kangsar, Taiping, Manjung dan seterusnya diikuti dengan beberapa daerah. Yang terakhirnya adalah Daerah Perak Tengah.

Selain dari Pengurusan Projek Pembangunan, JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Perak juga menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan ke atas bangunan-bangunan kerajaan, lampu jalan dan lampu isyarat Persekutuan dan Negeri juga memberikan khidmat nasihat teknikal kepada jabatan-jabatan serta agensi kerajaan yang lain dari masa ke semasa.

Untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk pembangunan kepada rakyat negeri Perak khasnya, Cawangan ini dipimpin oleh Ir. Rozina binti Sudin, PMP, AMP selaku Ketua Jurutera Elektrik Negeri. JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Perak kini mempunyai 90 orang Pegawai serta Kakitangan dari Kumpulan Pengurusan Professional dan Sokongan dari seluruh pelusuk negeri Perak.